fb fb fb fb fb

Jalan Pintas Kuala Terengganu dibuka

KUALA TERENGGANU, 1 November - Setelah tertangguh hampir tiga tahun, Jalan Pintas Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Bypass) yang menghubungkan Kuala Ibai dan Kampung Durian Burung dekat sini kini telah dibuka sepenuhnya dan memanfaatkan lebih 70,000 pengguna.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jalan sepanjang 5.8 kilometer (km) itu dapat mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan sedia ada di bandar Kuala Terengganu terutama pada waktu puncak, musim perayaan utama dan cuti sekolah.

“Projek ini juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna Pantai Timur dan mampu menjana ekonomi di kawasan Kuala Terengganu khususnya kepada sektor pelancongan serta industri kecil dan sederhana,” katanya di sini.

Fadillah berkata Kuala Terengganu Bypass yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan pada Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-10 pada mulanya melibatkan kos sebanyak RM250 juta, namun jumlah itu meningkat kepada RM384.3 juta disebabkan peningkatan kos pengambilan tanah sebanyak tiga kali ganda.

“Projek ini bermula 2016 dan kalau diikutkan jalan sepanjang hampir 6 km ini sepatutnya tidak perlu mengambil masa yang lama. Namun pembinaan jalan ini melalui pelbagai cabaran termasuk terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik COVID-19 dan akhirnya kini dapat disiapkan,” katanya.

(Fadillah bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Pembukaan Jalan Kuala Terengganu Bypass)

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Fadillah turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya memperoleh pelawaan projek oleh Jabatan Kerja Raya melibatkan tiga projek di Kelantan iaitu Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) – Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit; Projek LTU – Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang; dan Projek Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai.

Katanya, Projek LTU melibatkan pembinaan jalan sepanjang 11.05 km melibatkan nilai kontrak RM317.5 juta; Projek LTU – Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang sepanjang 20 km (RM326.5 juta); manakala Projek Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 10 km (RM262 juta).

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata projek pembinaan jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling, Jerantut hingga Kampung Pasir Raja, Dungun sepanjang 52.55 km baru sahaja dimulakan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Katanya, pelaksanaan projek itu adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya. - BERNAMA

Media Baharu