
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pelbagai bantuan sosial, pendidikan dan kebajikan disediakan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat Orang Asli, khususnya di kawasan pedalaman.
- JAKOA menyediakan SBGP termasuk makanan murid, wang saku, tambang pengangkutan, yuran, bantuan asrama dan pakaian seragam sekolah.
- Bantuan kebajikan merangkumi rawatan perubatan, anggota palsu, bakul makanan, bantuan kebajikan am dan pengangkutan pesakit.
- Kerajaan salurkan elaun kepada JPKKOA serta elaun batin atau penghulu bagi sokongan komuniti Orang Asli.
- Langkah ini diharap mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup dan melengkapi usaha menangani harga barangan keperluan asas.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata antara inisiatif yang disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ialah Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP).
Skim tersebut merangkumi bantuan makanan murid Orang Asli di pedalaman, wang saku, tambang pengangkutan ke sekolah, bayaran yuran persekolahan, bantuan asrama serta pakaian seragam sekolah.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat Orang Asli khususnya di kawasan pedalaman melalui penyediaan pelbagai bentuk bantuan sosial, pendidikan dan kebajikan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Manolan Mohamad di Dewan Negara, hari ini.
Menurutnya, bantuan kebajikan turut disediakan meliputi bantuan perubatan, bantuan anggota palsu, bakul makanan, bantuan kebajikan am serta pengangkutan pesakit.
Selain itu, kerajaan turut menyalurkan sokongan kepada komuniti Orang Asli melalui elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) serta elaun batin atau penghulu.
Beliau berkata, langkah tersebut diharap dapat membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup dalam kalangan masyarakat Orang Asli, di samping melengkapi usaha kerajaan menangani isu kenaikan harga barangan keperluan asas.