
KUALA LUMPUR, 5 April – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terus memperkukuh usaha memastikan komuniti Orang Asli memperoleh akses pendidikan yang setara dan menyeluruh.
- Banyak inisiatif termasuk bantuan harian, pakaian seragam, pengangkutan, makanan dan kemudahan asrama demi kebajikan pelajar Orang Asli.
- Perkhidmatan pengangkutan dari kampung ke sekolah diiktiraf sebagai antara kos terbesar peruntukan JAKOA.
- KKDW dan menteri memberi sokongan penuh serta komitmen dalam memperkasa pendidikan anak-anak Orang Asli.
- Keputusan SPM 2025 menunjukkan peningkatan pencapaian dan bilangan pelajar layak dianugerahkan sijil berbanding 2024.
Ketua Pengarah JAKOA, Muhammad Akmal Ila Ahmad berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk bantuan kewangan harian, pakaian seragam, pengangkutan ke sekolah, bantuan makanan serta kemudahan asrama.
“Antara inisiatif disediakan termasuk bantuan harian kepada pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, bantuan pakaian seragam serta perkhidmatan pengangkutan dari kampung ke sekolah yang merupakan antara kos terbesar peruntukan JAKOA,” katanya ketika ditemui selepas bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.
Menurutnya, bantuan makanan turut disalurkan khususnya di kawasan pedalaman di Kelantan, Perak dan Pahang bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

Dalam pada itu, Muhammad Akmal berharap kejayaan pelajar Orang Asli dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda lain untuk terus menuntut ilmu.
“Pendidikan adalah kunci utama masa depan. Peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan anak-anak terus ke sekolah dan tidak tercicir, walaupun berdepan kekangan ekonomi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan JAKOA dengan sokongan penuh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan menterinya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, sentiasa memberikan komitmen terbaik dalam memperkasa pendidikan anak-anak Orang Asli melalui pelbagai program dan inisiatif.
Keputusan SPM 2025 menyaksikan seramai 118 pelajar Orang Asli berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas berbanding 87 murid pada tahun 2024.
Jumlah calon yang layak dianugerahkan sijil SPM juga meningkat kepada 1,773 murid (83.16%) berbanding 1,527 murid (79.04%) pada tahun 2024.