fb fb fb fb fb

JAKIM sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah

PUTRAJAYA, 13 April- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan satu laporan akhbar mendakwa hasil cerapan 1 Syawal tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal.
 
Menerusi satu kenyataan, JAKIM menjelaskan hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

 Jelas kenyataan itu, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop di Labuan dan imej tersebut disahkan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan serta disemak kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melalui peralatan teodolit.
 
"Data tersebut dicerap mengikut prosedur yang betul selepas perbincangan dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal disediakan sebelum keputusan kenampakan anak bulan dibuat," kata kenyataan itu.

 JAKIM juga menyangkal laporan artikel berkenaan yang menyatakan bahawa laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.


(FOTO HIASAN/BERNAMA)

Tambahnya lagi, laporan akhbar bahawa pengisytiharan kenampakan hilal Syawal pada 2 Mei 2022 di Labuan terbatal adalah amat tidak tepat dan sangat mengelirukan.
 
Semua pihak disarankan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.
 
JAKIM menyeru masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan iaitu 20 April oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Media Baharu