KUALA LUMPUR, 15 Mac- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memanggil pihak produksi drama bersiri 'Bidaah' susulan satu klip video episod yang mencetuskan kontroversi serta menimbulkan kegelisahan awam.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata teguran juga telah dibuat dengan penegasan bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.
"Pihak penerbit akur dengan teguran dan bersedia memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pertemuan melibatkan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam JAKIM itu turut meneliti keseluruhan kandungan drama tersebut termasuk klip video episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.
Sirajuddin berkata JAKIM sentiasa bersedia untuk memberikan pandangan dan rujukan kepada mana-mana karya dalam memastikan kandungannya bersesuaian serta selari dengan prinsip panduan agama.
"Islam tidak menolak kesenian bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat," katanya.
Sirajuddin berkata seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kebaikan dan tidak melalaikan atau mempromosi perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika.
"JAKIM menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada tahun 2015 merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran," katanya.