fb fb fb fb fb

JAKIM panggil pihak berkaitan, berkenaan lelaki berpakaian wanita

Kenyataan media Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee

KUALA LUMPUR, 17 Februari- Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu susulan tular mengenai lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah program hiburan di ibu negara baru-baru ini. 

"JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Sesungguhnya, Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan. Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.

"Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama JAKIM menyeru dan menasihati semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia selain berharap agar perkara itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI