JAKIM, KPM perhalus pelaksanaan program rintis KAFA selama 5 hari

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dalam sidang media selepas menghadiri Tausiah Khas bersama 450 guru KAFA Kelantan di Kota Bharu – Foto RTM

KOTA BHARU, 17 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyelaras bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperhalus pelaksanaan Program Rintis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Perdana selama lima hari seminggu di sekolah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program rintis KAFA lima hari sedang dinilai menyeluruh sebelum keputusan penuh dibuat, dengan tumpuan pada kehadiran, jadual dan infrastruktur.
  • Kekangan premis kerana kelas KAFA menumpang fasiliti sekolah menyebabkan isu kapasiti apabila melanjutkan ke lima hari berbanding tiga.
  • Penyelarasan dengan KPM melibatkan penjadualan, penambahbaikan emolumen serta kebajikan guru dan keserasian dengan aktiviti kokurikulum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, program itu masih dalam penilaian menyeluruh sebelum keputusan penuh dibuat.

Program rintis berkenaan kini dilaksanakan di beberapa sekolah terpilih, dengan fokus terhadap aspek kehadiran pelajar,kesesuaian jadual serta keupayaan infrastruktur sedia ada.

“Bagaimana kita nak memastikan pelajar itu terjaga kebajikannya. Pada masa sama, kita nak buat KAFA. Sebab itu, perlunya penyelarasan dan bukan terus dilaksanakan. ”

Mengulas lanjut, Marhamah memaklumkan, antara cabaran utama ialah kekangan premis kerana kebanyakan kelas KAFA masih menumpang di fasiliti sekolah.

Sekali gus, menimbulkan isu kapasiti jika dilaksanakan lima hari seminggu berbanding tiga hari ketika ini.

Manakala, penyelarasan bersama KPM turut melibatkan penjadualan, penambahbaikan emolumen serta kebajikan guru dan pelajar, termasuk keserasian dengan aktiviti kokurikulum sekolah.

Terdahulu, beliau menghadiri Tausiah Khas bersama 450 guru KAFA Kelantan di Kota Bharu.

Sementara itu, Yayasan Taqwa menyalurkan sumbangan RM140,000 di Kelantan, meliputi bantuan kepada pondok, masjid, surau serta golongan memerlukan.