fb fb fb fb fb

JAKIM kerjasama pihak berkuasa, pastikan kes hina Islam ke muka pengadilan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Februari- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), majlis agama Islam dan jabatan agama Islam negeri-negeri dalam memastikan kes penghinaan Islam dibawa ke muka pengadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

"Sepertimana proses siasatan dan pendakwaan kes-kes penghinaan Islam sebelum ini, ia menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian bernegara", katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata agensi-agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perbuatan menghina agama tanpa pilih kasih, selaras dengan peruntukan undang-undang negara.

"Perbuatan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini hingga mencetuskan kegelisahan awam adalah amat dikesali.

"Semua pihak adalah diseru untuk menghormati undang-undang serta proses siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa demi kepentingan negara.

Katanya, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian dalam konteks masyarakat majmuk, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Marilah kita semua membangunkan Malaysia MADANI dengan semangat perpaduan demi kesejahteraan seluruh rakyat", katanya.

ROSLINA BINTI DIN