PUTRAJAYA, 2 Oktober -Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah untuk mengadakan Solat Hajat serta Qunut Nazilah, susulan tindakan biadap rejim Zionis Israel yang menghalang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata, solat tersebut akan dilaksanakan pada malam ini selepas solat Maghrib dan esok, 3 Oktober, selepas solat Jumaat, di semua masjid dan surau bawah pentadbiran JAKIM dan JAWI.
Pihaknya turut menyarankan agar semua Jabatan Agama Islam negeri-negeri mengambil inisiatif yang sama sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
"Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin," katannya menerusi kenyataan itu.
Selain itu, khutbah khas berkaitan isu Palestin juga akan disampaikan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.