KUALA LUMPUR, 13 Jun - Seramai 1,844 ketua isi rumah (KIR) sedang disantuni Jabatan Wilayah Persekutuan melalui inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan (WP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, PUJI diperkenal bagi menyelaras kesemua bantuan dan inisiatif kerajaan yang boleh dinikmati rakyat di ketiga-tiga wilayah Persekutuan, termasuk Kuala Lumpur.
Pelaksanaannya menggunakan pendekatan secara bersasar mengikut profiling ketua dan ahli isi rumah, demi memastikan agenda pembasmian kemiskinan tegar di negara ini, khususnya di Kuala Lumpur dapat diselesaikan segera.
"PUJI juga berperanan sebagai 'exit plan' dalam mendayaupayakan ketua dan ahli isi rumah yang produktif untuk keluar dari kepompong miskin tegar, yang pada akhirnya membolehkan mereka yang didayaupayakan dapat menyumbang semula kepada masyarakat dan komuniti," katanya, di sini.
Dr. Zaliha menyatakannya dalam sembah ucapan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sempena Majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidiladha Komuniti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.