fb fb fb fb fb

Jabatan Perikanan Terengganu tahan tiga bot nelayan

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat

KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Kira-kira tiga buah bot nelayan pukat tunda Zon C ditahan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sekitar pukul 1.00 pagi tadi, kerana menceroboh masuk dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negeri itu.

Bot nelayan terbabit yang dipercayai berdaftar dengan sebuah negeri jiran (Pahang) itu dikendalikan tiga tekong dan 12 awak-awak yang terdiri warga asing dari negara Myanmar.
 
Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat, penahanan tiga buah bot pukat tunda itu juga merupakan kes pertama jabatan tersebut melibatkan pencerobohan perairan negeri, pada tahun ini.
 
"Pada malam tadi kita telah pun mengerakkan seramai tujuh anggota, bergerak menuju ke lokasi dan hasil daripada gerakan ini kita telah berjaya menahan tiga buah vessel pukat tunda zon C yang sedang melakukan operasi di kawasan kurang daripada 12 batu, iaitu sekitar enam batu nautika daripada pantai,"kata Ruzaidi Mamat kepada pemberita selepas menghadiri Program Libat Urus Bersama Nelayan Bagi Aktiviti Rekreasi Kelautan di Dewan Besar, Akademi Perikanan Malaysia di Chendering, di sini.

Dua buat bot terbabit dibawa ke Pelabuhan LKIM Chendering manakala sebuah bot lagi ditunda ke pelabuhan LKIM Pulau Kambing untuk diambil tindakan selanjutnya, temasuk merampas dan melelong hasil tangkapan laut diperolehi ketiga-tiga bot berkenaan.

TETITIA YUSOFF