fb fb fb fb fb

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak diluluskan, berkuat kuasa 1 Sept

PUTRAJAYA, 18 September - Kerajaan telah meluluskan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkuat kuasa 1 September tahun ini, kata Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Nancy, penubuhan jabatan itu merupakan solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing.

Katanya dengan tertubuhnya jabatan itu sebanyak 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred diluluskan untuk memperkukuhkan struktur di peringkat ibu pejabat dan seterusnya di daerah serta jajahan.

"Ini bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

"Jabatan ini diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dengan tertubuhnya Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, usaha menggerakkan komuniti telah ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

"Ini selaras dengan tonggak Malaysia MADANI yang menyasarkan kesejahteraan masyarakat termasuk menjaga
keselamatan dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak adalah menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan bersetuju untuk menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak pada pembentangan Belanjawan Bajet 2023.

Kementerian menyeru masyarakat untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan laporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-261 5999 yang beroperasi selama 24 jam.

Media Baharu