fb fb fb fb fb

Isu pembangunan tanah projek IPR-INTAN dibawa ke NACCOL - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

IPOH, 28 Januari - Isu pembangunan tanah untuk projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) akan datang membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kementerian berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara yang akan dibincangkan termasuk mengenal pasti tapak baharu bagi pembangunan projek tersebut.

Selain melihat keperluan serta cabaran yang mungkin dihadapi antaranya isu lambakan hasil pertanian pada masa akan datang serta galakan kerjasama rentas kementerian.

"Dalam mesyuarat NACCOL akan datang kita akan bangkitkan lagi perkara ini supaya ada kertas Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian terutamanya dan kementerian lain yang patut menyediakan tanah saya sebutkan tadi tanah Penjara tanah Kementerian Dalam Negeri, tanah Kementerian Pendidikan dan lain-lain tanah kementerian yang dipinjamkan untuk beberapa waktu saya tidak tahu sama ada minima lima tahun, saya tidak pasti tapi harus disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas melawat IPR-INTAN Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Ulu Kinta di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, di sini.

Anwar turut memuji usaha yang diterajui Kementerian Ekonomi dalam mengurangkan tekanan petani miskin dan beban negara berikutan import pertanian yang tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN