fb fb fb fb fb

Isu pekerja gig tumpuan program Temu Anak Muda Lembah Pantai

Fahmi Fadzil pada program Temu Anak Muda anjuran Parlimen Lembah Pantai yang dihadiri lebih 150 anak muda terdiri daripada pekerja p-hailing dan e-hailing sekitar kawasan tersebut hari ini/RTM

KUALA LUMPUR, 16 Februari- Program Temu Anak Muda di Lembah Pantai hari ini menjadi platform bagi anak muda kawasan itu menyuarakan cadangan dan pandangan dalam menyelesaikan isu setempat khususnya melibatkan mereka dalam ekonomi gig.

Ahli Parlimennya Fahmi Fadzil berkata beberapa cadangan telah dikemukakan dalam program itu termasuk keperluan membina pusat henti rehat serta meningkatkan akses internet bagi pekerja p-hailing dan e-hailing.

"Saya akan berbincang dengan ketua rider untuk memahami keperluan mereka secara lebih mendalam. Kita juga perlu meneliti isu kebajikan ini kerana kemudahan asas seperti pusat henti rehat wajar dipertimbangkan.

"Saya akan melihat apa yang boleh dilakukan di peringkat Parlimen Lembah Pantai," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Temu Anak Muda anjuran Parlimen Lembah Pantai di sini.

Lebih 150 anak muda menghadiri program tersebut terdiri daripada pekerja p-hailing dan e-hailing sekitar Lembah Pantai yang turut diisi dengan sesi ceramah keselamatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik Kuala Lumpur serta pameran dan reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelaksanaan Pakej P-Hailing Rahmah akan dikaji semula bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada pengamal industri ekonomi gig khususnya sektor p-hailing.

Fahmi berkata keputusan itu dibuat susulan kelemahan dalam penyampaian maklumat mengenai inisiatif tersebut.

"Ketika pakej ini dilaksanakan tahun lalu, perbincangan dilakukan antara syarikat telekomunikasi dan syarikat p-hailing, tetapi maklumat kadangkala tidak sampai kepada rider. Justeru, kita akan mengkaji semula pelaksanaan ini kerana manfaatnya tidak sampai sepenuhnya kepada mereka.

"Hasrat kerajaan bukan sekadar membantu syarikat, tetapi memastikan manfaat langsung kepada rider.

"Saya akan minta laporan pasca pelaksanaan (post-mortem) mengenai jumlah rider yang terlibat dan mungkin kita perlu mencari kaedah lebih efektif, bukan melalui syarikat tetapi secara terus kepada para rider," katanya lagi.

Menteri Komunikasi itu turut menegaskan inisiatif tersebut diwujudkan bagi membantu pekerja industri p-hailing selaras dengan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak kementerian berkaitan untuk menyusuli perkara berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.

SITI AISHAH MD ISA