fb fb fb fb fb

Isu Myanmar: Malaysia gesa masyarakat antarabangsa lebih proaktif 

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

VIENTIANE, 11 Oktober- Masyarakat antarabangsa perlu mengambil peranan lebih proaktif dalam menyokong inisiatif Asean untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan dan aman terhadap isu yang melanda Myanmar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 menegaskan peranan yang boleh diambil termasuk pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang memerlukan.

"Semua negara anggota Asean sangat berharap untuk melihat rantau ini bebas daripada konflik dan tekanan lain yang akan menjejaskan kestabilan dan keamanan sejagat, tidak terkecuali konflik yang berpunca daripada persaingan kuasa besar," katanya.

Sidang ke-19 dihadiri oleh pemimpin dan wakil dari negara-negara ASEAN, termasuk China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.

Sejak penubuhannya pada 2005, EAS berfungsi sebagai platform dialog untuk membincangkan isu-isu strategik yang berkaitan dengan Asia Timur serta isu serantau dan global.

Menyentuh mengenai Gaza, Malaysia mahu komuniti antarabangsa menyeru agar pelanggaran undang-undang antarabangsa secara sewenang-wenangnya, pengabaian hak asasi manusia dan pembunuhan beramai ramai yang berterusan dihentikan serta-merta.

Anwar turut mengingatkan EAS mengenai impak yang dahsyat daripada konflik di Ukraine dan Malaysia sama sekali tidak menutup mata.

Sebaliknya, tegas menolak sebarang tindakan keganasan dan integriti wilayah.

"Mengenai konflik Rusia, Ukraine walaupun kita menyatakan bantahan kita terhadap penaklukan tetapi ada beberapa faktor yang harus dirundingkan.

"...dan kita setuju supaya semua pihak dengan bersama Rusia mencari jalan penyelesain yang baik," katanya.

Pada masa sama Malaysia akan terus menolak sebarang tindakan keganasan dan pencerobohan terhadap integriti dan kedaulatan mana-mana wilayah.

Malaysia menggesa semua pihak berusaha ke arah penyelesaian secara aman melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI