fb fb fb fb fb

Isu minyak sawit Malaysia, Jerman setuju jadi negara pengantara EU - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

HAMBURG, 16 Mac- Jerman bersetuju menjadi negara pengantara dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap isu komoditi minyak sawit Malaysia.

Ia susulan dasar Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

"Kita beritahu bahawa pandangan dan kritikan Eropah ini kadang-kadang sudah lama, dia tidak dapat ikuti perkembangan mutakhir.

"Tidak ada penebangan hutan meluas seperti mana pernah berlaku dulu dan kawasan-kawasan dianggap gambut itu yang menyebabkan 'emition carbon' yang paling tinggi yang dahulunya menjadi di antara tapak kelapa sawit sudah dihentikan," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Anwar mahu usaha dipergiat dalam memaklumkan perkembangan terkini berkaitan situasi semasa amalan penanaman sawit di Malaysia.

Ia bagi mengelak timbul salah faham negara lain terhadap usaha Malaysia bagi penanaman komoditi tersebut.

Selain itu, Anwar berkata keputusan mengenai tawaran Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel akan dimuktamadkan minggu hadapan.

"Hari ini, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya minta mereka bincang dan mungkin kita muktamadkan minggu depan.

"Kita tidak boleh juga tangguh keputusan, tetapi keputusan di mana kita tahu sukan olahraga ini tidak boleh dilihat hanya daripada segi ekonomi dan pelaburan.

"Kita hendak bagi ruang galakan supaya dapat memberikan dorongan kepada atlet kita dan olahragawan untuk bersaing," kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia menerima jemputan daripada Canselor Jerman, Olaf Scholz untuk menyertai Climate Club.

Ia dijangka data mengukuhkan profil negara bagi usaha tindakan iklim dan komiten dalam memenuhi obligasi di bawah Perjanjian Paris.

"Canselor Scholz mencadangkan supaya kita bersama-sama dalam soal menangani masalah tekanan alam sekitar dan kita bersetuju pada prinsipnya untuk bersama-sama dalam 'Climate Club' yang beliau usahakan untuk meningkatkan kerjasama," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM