fb fb fb fb fb

Isu mimpi bertemu Rasulullah, jangan ditularkan demi elak fitnah

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr. Nooh Gadut/Foto Fail

KUALA LUMPUR, 6 November- Mimpi bertemu Rasulullah SAW adalah anugerah Allah, namun ia bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum. 

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr. Nooh Gadut menerusi satu kenyataan menjelaskan, hanya mimpi para nabi merupakan hujah syarie manakala mimpi orang biasa bukanlah satu hujah dan bukan semuanya benar seperti mana terkandung dalam kitab-kitab fiqh. 

Tambahnya, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (MKI) kali ke-36 pada Disember 1994 yang membincangkan tentang mimpi daripada perspektif Islam mendapati, tafsiran dan takwil mimpi merupakan satu ilmu yang muktabar dan mempunyai kaedah dan asal usul tersendiri. 

Antara kriteria untuk mempercayai tafsir mimpi adalah ianya keluar daripada orang yang berkata benar, soleh, dikurniakan ilmu dan kelebihan serta warak. 

"Seeloknya mimpi bertemu Rasulullah tidak diuar-uarkan kepada umum bagi mengelakkan riya' dan ujub seterusnya boleh mendatangkan fitnah dan salah faham daripada masyarakat.

Justeru, hanya mimpi para nabi sahaja yang benar dan boleh dijadikan sumber hukum kerana mereka adalah maksum," kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang pemimpin politik mendakwa bermimpi bertemu Rasulullah di kawasan Parlimennya di Pantai Timur.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, meminta Datuk Dr Nooh untuk memberi penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan dengan isu mimpi tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM