fb fb fb fb fb

Isu libatkan HKL akan diberi keutamaan - Anwar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 April- Isu-isu mendesak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang harus dipandang serius kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diberi keutamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kajian menyeluruh penting bagi memastikan hospital dan klinik di bandar, mahupun luar bandar yang mempunyai masalah, mendapat penyelesaian terbaik.

"Tentunya kita lihat sendiri macam mana kawasan wad sedikit panas dan sesak.

"Menteri akan bawak ke Jemaah Menteri untuk kita segerakan, dimana yang perlu.

"Walaupun saya selalu menggesa kalau buat kajian biar kajian yang menyeluruh, cara mana kita perolehan ubat-ubat apakah ikut kaedah kos itu tidak merugikan, apakah ubat-ubat itu digunakan sepenuhnya dan tidak ada pembaziran dan apakah keutamaan, betol kita perlu beri tumpuan kepada HKL kerana jumlah itu besar," katanya kepada pemberita selepas menyantuni pesakit dan petugas di HKL sempena Hari Raya Aidilfitri.

Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menziarahi pesakit di wad perubatan kelas ketiga yang menempatkan 32 pesakit.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Anwar kemudian menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di kediaman rasminya di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, perwakilan- perwakilan asing dan duta-duta luar ke Malaysia.

Lebih 20 jenis juadah disediakan untuk kira-kira 500 tetamu yang hadir.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM