fb fb fb fb fb

Isu kelewatan pemasangan Aerotrain tiada kaitan dengan Kementerian Pengangkutan

Anthony Loke (tengah) berkata isu kelewatan pemasangan aerotrain berada di bawah tanggungjawab Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)

SEPANG, 5 Februari - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sekali lagi menegaskan bahawa kelewatan dalam penyambungan semula perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak ada kaitan dengan Kementerian Pengangkutan.

Sebaliknya, isu kelewatan pemasangan aerotrain berada di bawah tanggungjawab Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Tambahnya, beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu tersebut dan secara terbuka mengkritik MAHB atas kelewatan yang berlaku.

"Aerotrain itu memang ada kelewatan. Tapi Aerotrain pun bukan satu projek di bawah Kementerian Pengangkutan.

"Aerotrain itu projek di bawah MAHB. Saya pun tak puas hati dengan Aerotrain. Saya pun secara terbuka kritik MAHB," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Paduan Kasih Madani di sini, hari ini.

Loke berkata, pihaknya turut diberi taklimat mengenai projek pemasangan Aeorotrain itu malah, turut memantau isu itu menerusi sebuah jawatankuasa kerja.

Beliau turut menegaskan bahawa segala dana dan kontrak berkaitan projek itu berada di bawah pengurusan MAHB.

"Dana ataupun kontrak yang dianugerahkan itu adalah di bawah pengurusan MAHB. Dan sepatutnya yang mengambil tanggungjawab ialah Lembaga Pengarah MAHB," tambahnya.

Sabtu lalu, media melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan akan memanggil Menteri Pengangkutan bagi prosiding berhubung isu kelewatan pemasangan aerotrain.

Pada asalnya, projek penggantian Aerotrain di KLIA dijadualkan siap pada 31 Mac 2025.

Namun, MAHB mengumumkan bahawa projek tersebut dijangka siap lebih awal, iaitu pada 31 Januari 2025.

Walau bagaimanapun, pada Januari, MAHB menyatakan bahawa perkhidmatan Aerotrain disasarkan untuk kembali beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun 2025, setelah hampir dua tahun digantung.

Sehingga kini, tiada tarikh pasti yang disahkan untuk penyambungan semula perkhidmatan Aerotrain di KLIA.

GRACE AISYAH KEDAYAN