fb fb fb fb fb

Isu kalimah Allah di tapak kasut, orang ramai dinasihat bertenang - Exco

Foto FB Exco

JOHOR BAHRU, 8 April- Sejumlah kasut yang menggunakan logo menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanita, dirampas dalam serbuan bersepadu di sebuah pusat beli-belah di Johor pada petang Ahad.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dalam kenyataannya berkata pemantauan dilakukan susulan tular di media sosial berkenaan dakwaan penggunaan logo dikatakan mirip kalimah Allah pada tapak kasut jenama tempatan itu.

"Pemantauan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," kata kenyataan itu.

Tambahnya, rakyat Johor diminta bertenang dan membenarkan pihak berkuasa melakukan siasatan dengan lebih lanjut berkenaan isu tersebut.

Kerajaan negeri kekal bertegas dalam aspek pemantauan berterusan dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur persendaan serta penghinaan ke atas kalimah Allah dan kemuliaan agama Islam.

Syarikat terbabit juga telah menarik balik kesemua jualan kasut rekaan berkenaan daripada pasaran.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM