PUTRAJAYA, 22 Januari- Isu jurang pendapatan antara siswazah wanita dan lelaki perlu diberi perhatian dan langkah wajar harus diambil untuk memastikan siswazah wanita diberikan peluang yang sama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ini kerana wanita memiliki kelayakan akademik setaraf dengan lelaki dan tidak seharusnya dipandang rendah, terutamanya dari segi pendapatan.
“Wanita ini kadang-kadang bekerja sebab mereka ada tanggungjawab tersendiri. Oleh itu, mereka tidak seharusnya dipandang rendah, terutama sekali dari segi pendapatan. Jika kelayakan mereka setara dengan lelaki, maka pendapatan juga sepatutnya sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan logo dan tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Putrajaya.
Tambah beliau, purata gaji siswazah wanita adalah RM900 lebih rendah berbanding lelaki, walaupun mereka memiliki kelayakan akademik yang setara, menurut laporan Statistik Siswazah 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.