KUALA LUMPUR, 9 Julai- SPRM akan memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat berkaitan isu membabitkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim dalam satu kenyataan berkata ia susulan kehadiran pasukannya ke HRD Corp di Kuala Lumpur dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini.
Menurutnya, kehadiran pasukannya adalah bagi mendapatkan dokumen yang diperlukan, namun setakat ini belum ada saksi yang dirakam percakapan.
Beliau berkata fokus siasatan adalah tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.
Media hari ini melaporkan sepasukan anggota disertai empat pegawai SPRM telah hadir ke KESUMA pada kira-kira pukul 11.20 pagi tadi dan meninggalkan bangunan itu bersama beberapa dokumen selepas hampir sejam berada di bangunan itu.