fb fb fb fb fb

Isu doktor kontrak: 4,186 jawatan tetap diwujudkan mulai Jun ini

PUTRAJAYA, 10 Februari - Sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun ini bertujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Melalui keputusan terbaharu itu, sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan sehingga 2025.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata lantikan bagi perjawatan tetap tambahan bermula pada Jun depan.

Menurutnya, keputusan dibuat selepas mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan tentang Tawaran Baharu atau New Deal berhubung keperluan perjawatan tetap tambahanĀ itu bagi menangani isu-isu berkaitan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak, pada 19 Januari lalu.

"Jemaah Menteri bersetuju agar sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025", katanya dalam sidang media hari ini, pada Khamis.

"Selain itu, sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.

"Sebagai tambahan juga, 800 lagi lantikan tetap untuk pegawai perubatan dan 70 pegawai pergigian boleh dibuat pada setiap tahun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pegawai perubatan yang akan dilantik menjadi pakar perubatan," katanya.



Sebagai rekod, sepanjang tempoh 2016 sehingga akhir tahun 2021, hanya 1,118 orang pegawai perubatan, 1,019 pegawai pergigian dan 1,288 pegawai farmasi telah dilantik secara tetap.

Seterusnya pada 14 Julai 2021, pegawai perubatan yang menamatkan tempoh khidmat wajib disambung kontrak semula bagi tempoh dua (2) tahun bagi kesinambungan perkhidmatan dan persediaan pengajian kepakaran.



Media Baharu