fb fb fb fb fb

Isu DNAA Ahmad Zahid, PM jawab di Dewan Rakyat esok

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 18 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memberi penjelasan mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat esok.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Yang berhormat (ahli Parlimen Kota Bharu) tanya saya, adakah perdana menteri akan jawab. Tuan punya badan ada di sini, dia (perdana menteri) buat good itu, dia jawabla (berhubung kes DNAA) esok. insya-Allah pukul 2.30 hingga 3.00 petang. Jadi, soalan-soalan itu boleh ditanya kepada perdana menteri," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan mengenai komitmen Anwar mengulas mengenai isu DNAA di Dewan Rakyat, di sini.  

Jumaat lalu, Anwar memberi kenyataan tidak menolak kemungkinan untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Azalina berkata Kerajaan Perpaduan komited untuk mengasingkan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya bagi memastikan integriti institusi perundangan kekal terpelihara.

"Kenapa semasa yang di sana jadi kerajaan tidak pisahkan (pengasingan kuasa) Peguam Negara? Bila yang berhormat di sana kena, kata ‘oh pendakwaan terpilih’, bila sini yang kena kata padan muka.

"Kerajaan MADANI komited kepada tata kelola yang lebih adil. Kami walk the talk. Mereka (pembangkang), they don’t walk, they don’t talk," kata Azalina.

Beliau membidas celahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang membangkitkan isu pendakwaan terpilih dalam kes-kes mahkamah.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu