fb fb fb fb fb

Isu buli siber akan dibentang dalam mesyuarat kabinet

Fahmi Fadzil melawat keluarga pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber, di Gombak Setia

KUALA LUMPUR, 7 Julai- Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ia juga akan menyentuh laporan berhubung insiden melibatkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

"Kita bukan hanya melaporkan apa berlaku tetapi mengambil tindakan terutama kalau kita perlu pinda akta dan apakah kelemahan yang ada sekarang. Masalah utama ialah ramai yang melakukan buli siber di sebalik akaun palsu.

"Salah satu daripada aduan yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi terima daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah akaun-akaun yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan tetapi mereka berselindung di sebalik akaun palsu identiti individu yang mengeluarkan komen atau terlibat dalam penipuan sukar dikenal pasti dan sebagainya," kata Fahmi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga seorang pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan berhadapan buli siber ketika upacara penghormatan terakhir buat mendiang di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia.

Fahmi berkata keluarga pempengaruh itu telah membuat laporan polis dan pihak kementerian telah berhubung dengan TikTok yang menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama.

Beliau turut menasihatkan orang ramai termasuk penjawat awam supaya mengelak daripada menjadi pembuli siber, sebaliknya terus mengekalkan adab dan budaya dalam menggunakan platform media sosial

Selain itu, pihaknya akan menimbangkan keperluan meminda akta sedia ada berkaitan buli siber, dan menegaskan bahawa individu yang terlibat dengan kes kematian pempengaruh itu akan dibawa ke muka pengadilan. 

"Perkara ini dimaklumkan kepada Perdana Menteri semalam dan saya juga telah bercakap dengan Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said. Kita mempunyai pendirian yang sama dalam isu ini dan akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi.

"Kesalahan-kesalahan bukan hanya dalam isu seperti mengaibkan atau menzahirkan maklumat peribadi yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, jadi insya-Allah kita akan adakan pertemuan dan meneliti undang-undang sedia ada dan apakah langkah-langkah perlu kita ambil,” katanya.

Fahmi berkata pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini yang mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam tetapi mengatakan ia boleh dicegah dengan campur tangan yang betul. Jika anda berasa tertekan atau ada kecenderungan bunuh diri atau mengenali seseorang seumpamanya, sila hubungi talian hotline berikut: Talian Kasih 15999 The Befrienders 03-76272929 Pusat Kaunseling Agape Malaysia 03-77855955 atau 03-77810800 Life Line Association Malaysia 03-42657995

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI