fb fb fb fb fb

Isu 'BlackRock' cuba wujudkan persepsi buruk - Fahmi

Fahmi Fadzil

SUNGAI BAKAP, 22 Jun- Tindakan beberapa pihak yang 'menunggang' berkenaan penyertaan BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) dilihat sebagai politik sempit parti pembangkang selain cuba mewujudkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyelar tindakan itu dan menyifatkan ia mengganggu dan merosakkan perancangan negara.

"Mereka yang cuba menunggang isu ini tidak melihat kepada kepentingan kita untuk menambah baik mutu perkhidmatan di lapangan terbang. Sejujurnya, BlackRock tiada kaitan secara langsung dengan perbincangan antara MAHB dan Global Infrastructure Partners (GIP).

"...syarikat yang dirasakan mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membantu kita memulihkan dan menambah baik lapangan terbang," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Sungai Bakap, di sini. 

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata BlackRock merupakan pelabur institusi dan terlibat sebagai pemegang saham pelbagai syarikat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia.

Dalam isu penstrukturan semula MAHB, beliau menjelaskan bahawa 70 peratus saham entiti itu dipegang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan golden share, selebihnya kepada GIP, dan tiada saham dijual kepada BlackRock.

Sebelum itu Fahmi sempat mengadakan kunjungan ke Konti Mini Mutiara FM, sempena rakaman Program Sana Sini Sungai Bakap, pagi tadi.

Beliau berkata fasiliti dan infrastruktur yang disediakan seperti capaian internet dan ketersediaan kaunter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berada pada tahap memuaskan.

"Saya sangat gembira untuk melihat apa yang telah diusahakan oleh rakan-rakan kita dalam studio mini sempenan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

"Saya lihat fasilitinya baik dan mencukupi. Capaian internet juga baik, di luar ada kaunter MCMC, dan sekiranya ada masalah boleh buat aduan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI