KUALA LUMPUR, 19 Julai- Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung esok amat penting dalam mengukuhkan kesetiaan rakyat kepada sistem yang telah lama diamalkan di negara ini iaitu sistem Raja Berperlembagaan.
Khutbah Jumaat khas sempena istiadat pertabalan bertajuk “Raja Ditaati, Negara Dirahmati” menyebut istiadat esok sangat signifikan kerana ia menjulang tinggi darjat Seri Paduka Baginda sebagai payung negara.
Bacaan Khutbah Jumaat Khas tersebut disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
"Seri Paduka Baginda turut melafazkan ikrar untuk memelihara kesucian agama Islam sesuai dengan bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
"Hubungan raja dan rakyat diibaratkan seperti pohon pokok iaitu raja umpama pohon dan rakyat sebagai akarnya. Sudah tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar yang kuat dan akar pula sangat perlukan pohon yang hidup dan menjalankan fungsinya dengan baik.
"Inilah disebut sebagai hubungan simbiosis yang menunjukkan raja memerlukan rakyat dan rakyat juga memerlukan raja sebagai tempat berlindung," menurut khutbah itu.
Umat Islam juga diseru supaya menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dalam menunaikan taklifan (tanggungjawab) Seri Paduka Baginda yang sangat besar.
"Sama-sama kita berdoa agar Istiadat Pertabalan yang bakal berlangsung esok berjalan dengan lancar dan dalam perlindungan Allah SWT, seterusnya kita panjatkan doa kesejahteraan, ‘afiyah (keselamatan) dan ‘inayah (pertolongan Allah) buat Seri Paduka Baginda dalam meneraju dan memimpin rakyat di negara ini menurut Perlembagaan dan panduan Islam yang ditetapkan," menurut khutbah itu.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama-sama lebih 1,000 jemaah di Masjid Negara di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim yang mengenakan baju Melayu Teluk Belanga rona biru Tiffany, iaitu warna kegemaran Seri Paduka Baginda, pada 1.10 tengah hari disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ialah Menteri Komunikasi Fadmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.