fb fb fb fb fb

PM lawat Qatar, perkukuh hubungan tingkat kerjasama ekonomi

DOHA, 27 Mac - Mengukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama ekonomi menjadi antara tumpuan utama sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar.

Beliau yang dijangka tiba malam ini (pukul 8.00 malam waktu Malaysia) turut dijadual menghadap Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Setelah lebih dua tahun pandemik COVID-19, ini masa paling sesuai untuk kedua-dua negara bekerjasama apatah lagi banyak perkara yang perlu dilihat semula.

Malah dengan lawatan rasmi Perdana Menteri, ia amat penting dalam usaha memulihkan kembali hubungan perdagangan.

Duta Besar Malaysia Ke Qatar, Zamshari Shaharan berkata nilai perdagangan kedua-dua negara pada 2019 adalah sebanyak USD 0.8 bilion, bagaimanapun berkurangan kepada USD 0.5 bilion pada 2020 ketika pandemik melanda dunia.

"Tahun lepas pada tahap USD 0.63 bilion. Untuk itu, pada tahun ini nilai kita sasarkan dapat seperti sebelum pandemik ataupun lebih daripada itu.

"Qatar sebuah negara yang mempunyai kekuatan kewangan jadi ini antara hasrat dalam lawatan ini untuk menarik pelaburan ke Malaysia bagi menjana ekonomi negara, keberhasilan yang kita harapkan menjana ekonomi negara dan seterusnya," katanya bercakap kepada wartawan Malaysia di sini.

(Zamshari Shaharan)

Berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri, menurut Zamshari kemuncak acara adalah menghadap Amir Qatar pada hari terakhir di Amiri Diwan.

"Jadi di pertemuan tersebut Perdana Menteri akan menyampaikan komitmen negara setelah dua tahun ini untuk mengukuhkan kembali hubungan dua hala bersama Qatar. Selain itu untuk Perdana Menteri dan delegasi mendengar dan mendapatkan maklum batas Qatar mengenai pandangan mereka dalam hubungan dua hala," jelas beliau.

Selaku tuan rumah Piala Dunia November ini, Qatar yang mempunyai 2.7 juta penduduk terus pesat membangun malah pendapatan perkapitanya antara tertinggi di dunia.

Sempena Piala Dunia juga, terdapat sebuah syarikat Malaysia yang sudah mendapat peluang untuk mengubah suai satu daripada stadium yang akan digunakan.

Untuk itu Zamshari berkata, mungkin ada syarikat-syarikat Malaysia yang boleh menerokai pelbagai bidang lain.

Laporan Khairul Azli Rahim

Media Baharu