KUALA LUMPUR, 14 Januari - Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, dipilih sebulat suara sebagai individu pertama menjadi Pengerusi Konvensyen dan Pameran (C&E) & Majlis Anggota Penasihat (MAC) ‘World Trade Centers Association’ (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.
Manakala Naib Pengerusi pula adalah Okay Basbug dari ‘World Trade Center’ Istanbul.
Irmohizam akan menyandang jawatan itu selama dua tahun, menurut kenyataan dikeluarkan WTCKL.
Kenyataan itu menyebut, WTCA sebelum ini membahagikan C&E MAC kepada beberapa buah wilayah iaitu Asia Pasifik, Amerika dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
"Terkini, kesemua Ahli Lembaga Pengarah WTCA telah bersepakat untuk menggabungkan kesemua MAC WTCA menjadi sebuah kumpulan global di dunia. Penggabungan ini akan dapat meningkatkan penyertaan acara perniagaan, pameran dan konvensyen dari seluruh anggota WTCA,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut langkah berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh dunia, melalui kerjasama dan usaha mempelbagaikan perkhidmatan industri acara perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Irmohizam turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua Ahli Lembaga Pengarah WTCA serta kepimpinan World Trade Center, yang memberikan keyakinan kepadanya dalam memimpin sebuah organisasi dunia dalam industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) serta Acara Perniagaan (BE).
"Sebagai rakyat Malaysia dan bumiputera pertama yang menyandang jawatan tertinggi ini, saya amat berharap imej negara kita dapat dilihat secara serius dan positif oleh seluruh dunia, melalui lebih banyak kerjasama dalam kalangan ahli WTCA yang kini berjumlah 326 WTC seluruh dunia,” katanya. - BERNAMA