NILAI, 16 Mac – “Polis dan masyarakat berpisah tiada.”
Itulah semangat yang dizahirkan menerusi program Singgah Sahur anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memperkukuh hubungan erat antara pihak berkuasa dan komuniti setempat.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, program itu bukan sahaja bertujuan menyantuni masyarakat, tetapi juga sebagai langkah proaktif kehadiran polis di kawasan tertentu bagi pencegahan jenayah.
"Program ini saya khususkan kepada Ketua Polis Daerah (OCPD) untuk memilih sekurang-kurangnya dua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Nilai agar kita dapat turun padang, menyantuni masyarakat serta memperkukuhkan kehadiran polis di kawasan tersebut.
"Secara tidak langsung, ia juga sebagai langkah pencegahan jenayah," katanya ketika berucap di lokasi pertama program Singgah Sahur di Nilai.
Sebanyak 400 pek makanan telah disediakan untuk diedarkan ke lima lokasi terpilih iaitu KRT Desa Kolej, Nilai, SJR Batang Benar, Nilai, Balai Polis Lenggeng, Balai Polis Mantin, dan Masjid Sri Sendayan.
Program seumpama itu diharap dapat terus mempereratkan hubungan antara PDRM dan masyarakat, sekaligus menjadikan komuniti lebih peka terhadap aspek keselamatan di kawasan masing-masing.