BANSKO, 17 Oktober- Malaysia telah mencatatkan pencapaian cemerlang di kejohanan Olimpiad Linguistik Antarabangsa (IOL) 2023 apabila dua wakil negara menerima Penghargaan Kehormat (Honourable Mentions) bagi acara individu.
Ho Janson dan Lim Ming Wen masing-masing menduduki tangga 83-85 dan 87-90 daripada 205 keseluruhan peserta.
Manakala dalam acara berpasukan, pasukan negara yang membariskan empat pelajar sekolah menengah iaitu Ho Janson, Chin Yong Hong, Lim Ming Wen, dan Tan Hong Zher berjaya menduduki tangga ke-30 dari 52 pasukan yang bertanding.
Sementara itu,peserta termuda negara, Ho Janson menganggap kehadirannya di pertandingan tersebut merupakan satu pengalaman berharga buat dirinya.
"Kemenangan bukanlah segala-galanya dalam sesebuah pertandingan.
"Walaupun mencapai kemenangan adalah teras dalam mana-mana pertandingan, pengalaman adalah ‘hadiah’ yang paling bermakna", katanya yang belajar di Sekolah Antarabangsa Cempaka, Damansara Heights.
IOL merupakan kejohanan tahunan yang mengumpulkan pelajar sekolah menengah dari seluruh dunia, bersama-sama dengan pakar linguistik dalam pelbagai disiplin.
Pertandingan yang dihoskan oleh negara yang berbeza setiap tahun sejak tahun 2003 itu diadakan bertujuan untuk memberikan cabaran kepada peserta menganalisis tatabahasa, struktur, budaya, dan sejarah bahasa-bahasa yang berbeza.
(Chin Yong Hong,salah seorang peserta IOL 2023/FOTO ARDENTETU)