PUTRAJAYA, 2 Februari - Langkah intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 sekilogram berkuat kuasa Sabtu ini dapat menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan.
Penetapan harga baharu runcit ayam itu yang dilaksanakan hingga 5 Jun, ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kos penternakan ayam telah meningkat sebanyak 70 peratus.
"Sekiranya langkah intervensi tidak dilaksanakan, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini dianggar melebihi RM10.00 sekilogram," katanya dalam satu kenyataan.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 Sen daripada harga siling.
Ia merupakan penurunan kali ketiga sejak Deepavali yang lalu.