GEORGE TOWN, 2 Disember - Institusi Kehakiman Syariah di Pulau Pinang terus bergerak seiring perkembangan teknologi apabila memperkenalkan Sistem e-Syariah Versi 3 (ESV3) yang lebih moden, efisien dan mesra pengguna.
Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Prof Emeritus Datuk Dr Abd Aziz Tajuddin berkata, perkembangan pesat teknologi masa kini menjadikan adaptasi digital sebagai keutamaan dalam urusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurut beliau, semua pihak termasuk pelanggan mahkamah perlu bersedia menerima perubahan tersebut selaras dengan arus transformasi digital negara.
"Pada zaman ini,kemajuan teknologi telah menjadi satu keutamaan,tuan tuan dan puan puan juga tidak terlepas untuk menerimanya mengikut arus perubahan zaman.Institusi Kehakimana Syariah juga tidak ketinggalan dengan memperkenalkan sistem E0Syariah Versi 3 (ESV3) yang terkini serta membolehkan pelanggan membuat pembayaran secara cashless bagi memudahkan anda semua dan pelanggan di kaunter mahkamah," katanya.
Beliau berucap demikian mewakili Yang di-Pertua MAIPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Pulau Pinang di Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang,Georgetown.
Hadir sama,Ketua Hakim Syarie, Datuk Za’im Md Yudin dan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Seramai 38 peguam syarie Baharu menerima pentauliahan pada majlis tersebut.