Institusi akademik digesa hidupkan kembali wacana keilmuan Syed Naquib

Tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mac– Legasi keilmuan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, perlu diteruskan oleh institusi pendidikan dan masyarakat bagi memastikan pemikiran beliau kekal relevan buat generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dr Dzulkifli menyerlahkan sumbangan besar Allahyarham dalam dunia intelektual Islam yang wajar dihargai dan diperkasakan.
  • Karya dan pemikiran beliau memberi impak mendalam di Malaysia dan mendapat pengiktirafan tinggi di peringkat antarabangsa.
  • Institusi akademik digesa menghidupkan kembali wacana keilmuan melalui syarahan, kajian dan penerbitan karya beliau.
  • Magnum opusnya Islam and Secularism kekal rujukan utama dalam perbincangan pemikiran Islam moden di seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Dzulkifli Hasan berkata, Allahyarham telah meninggalkan sumbangan besar dalam dunia intelektual Islam yang wajar dihargai serta diperkasakan.

Menurut beliau, karya dan pemikiran Allahyarham bukan sahaja memberi impak mendalam di Malaysia, malah mendapat pengiktirafan tinggi di peringkat antarabangsa.

“Apa yang kita perlu lakukan sekarang ini adalah bagaimana untuk kita meneruskan legasi yang ditinggalkan itu. Legasi keilmuwan.”

“Kita lihat bagaimana institusi-institusi perlu mengambil peluang ini untuk menghidupkan dan meneruskan kupasan, syarahan dan juga kepada ilmu-ilmu ataupun segala karya khazanah yang ditinggalkan oleh Allahyarham,” kata Dr. Dzulkifli Hasan kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkifli menggesa institusi akademik agar mengambil peluang menghidupkan kembali wacana keilmuan menerusi syarahan, kajian dan penerbitan berkaitan karya-karya Allahyarham.

Langkah itu penting bagi memastikan khazanah ilmu yang dihasilkan terus segar dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

Antara karya agung (magnum opus) beliau ialah Islam and Secularism, yang kekal menjadi rujukan utama dalam perbincangan mengenai pemikiran Islam moden di seluruh dunia.

Pemergian Allahyarham meninggalkan ruang besar dalam dunia intelektual, namun legasi beliau diyakini akan terus menjadi sumber inspirasi dan rujukan utama pada masa hadapan.