fb fb fb fb fb

Insiden tembakan: Siasatan pasukan khas JSJ ikut undang-undang

Foto RTM

PUTRAJAYA, 11 Disember - Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mempunyai prosedur undang-undang dan tertib kerja tersendiri dalam menjalankan siasatan berkaitan dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan semua keterangan dan penemuan berkaitan termasuk melibatkan anggota polis yang terbabit dalam operasi tersebut melalui peguam sebelum menentukan hala tuju siasatan.

Menurut beliau, apa sahaja maklumat atau bahan bukti yang dikemukakan, termasuk rakaman audio yang tular sebelum ini, akan dimasukkan dalam skop siasatan.

"Saya difahamkan pihak keluarga telah mendapatkan khidmat peguam dan memaklumkan mengenai kewujudan rakaman audio serta beberapa bahan lain. Semua itu akan dibawa masuk ke dalam proses siasatan, termasuk keterangan daripada anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut. Kesemuanya akan diambil dan diteliti.

"Itu merupakan ruang lingkup jawatankuasa siasatan khas yang telah diumumkan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar. Saya tidak mahu membuat sebarang andaian awal kerana mereka mempunyai prosedur dan tertib kerja yang jelas untuk merakam keterangan serta menjalankan siasatan mengikut standard pasukan polis," jelasnya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Datuk Seri Saifuddin turut menegaskan, bahawa tiada campur tangan daripada pihaknya dalam proses siasatan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan yang dilantik.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima rakaman audio yang dikaitkan dengan insiden tembakan, diserahkan sendiri oleh ahli keluarga mangsa bersama sebuah telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Pada 3 Disember lalu, JSJ Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga ketiga-tiga suspek yang menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

EZA YUSMAWATI YAACOP