fb fb fb fb fb

Insentif khas diumum akhir tahun, tarik pelaburan di JSSEZ

Forest City

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kerajaan akan mengumumkan insentif khas yang boleh menarik pelaburan berkualiti dan menawarkan pekerjaan bernilai tinggi bagi memacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) menjelang akhir tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Memorandum Persefahaman JSSEZ yang dimeterai pada Januari lalu menandakan pencapaian besar kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

"Kerajaan meluluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat. Pakej galakan cukai bagi Zon Kewangan Khas Forest City turut diumumkan bagi merancakkan aktiviti perkhidmatan kewangan seperti perkhidmatan perniagaan global kewangan dan Fintech.

"Skim Pejabat Keluarga Tunggal telah diluncurkan untuk Zon Kewangan Khas Forest City bagi menggalakkan pengurusan dana Keluarga. Bagi menjayakan pengoperasian Pejabat Keluarga, Suruhanjaya Sekuriti akan berperanan sebagai pihak berkuasa melulus untuk pemberian Pas Residen serta Pas Penggajian kepada masing-masing Pelabur Keluarga Pengasas dan profesional pelaburan Pejabat Keluarga berkaitan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.

Sementara itu bagi memudah cara pelaburan di JSSEZ, Invest Malaysia Facilitation Centre–Johor (IMFC-J) ditubuhkan.

Pusat berkenaan bertujuan mengurangkan birokrasi di pelbagai peringkat bagi mempercepat kelulusan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI