fb fb fb fb fb

Inisiatif Payung Rahmah diperluas ke negeri Pahang

KUANTAN, 4 Mac- Program Jualan Rahmah (PJR) merupakan salah satu program yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di mana objektif utamanya untuk membantu rakyat sekeliling kawasan mengurangkan kos sara hidup melalui penawaran barangan keperluan harian pada harga yang mampu dimiliki.

PJR adalah kolaborasi bersama pemain industri sektor peruncitan seperti pasaraya dan hypermarket yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10-30 peratus daripada harga biasa pasaran setempat.


(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh)

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, jualan rahmah hari ini melibatkan 128 item barangan antaranya hasil laut, sayuran dan buah-buahan,makanan kering dan pelbagai jenis barangan keperluan asas yang lain.

"Sempena perasmian PJR pada hari ini, TMG Mall menawarkan potongan harga diskaun sehingga 30 peratus. Manakala bagi Pakej Rahmah, TMG Mall menyediakan pakej barangan keperluan asas bernilai RM50.00. Harga asal barangan tersebut adalah RM70.00.

"Saya turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada 100 penerima daripada golongan asnaf. Inisiatif Bakul Rahmah ini dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya) agensi Kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini," katanya selepas merasmikan inisiatif payung rahmah peringkat Negeri Pahang yang diadakan di TMG Mall Tanjung Lumpur, Kuantan.

Inisiatif payung rahmah yang dilaksanakan hari ini meliputi Program Jualan Rahmah (PJR) dan Pakej Rahmah, edaran Bakul RahmaH oleh TMG Mall dan pengenalan Menu Rahmah di Restoran Chicago Chicken City.

Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dan dijangka dapat memberikan manfaat kepada 37,373 Ketua Isi Rumah (KIR) kumpulan miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan.

Kementerian berharap lebih ramai pihak industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dapat bersama Kementerian dalam menjayakan inisiatif Jualan RAHMAH dan Bakul RAHMAH.

Sementara itu, hari ini, Homegrown Restoran Chicago Chicken City (CCC) turut serta mengambil bahagian melaksanakan inisiatif Menu Rahmah.

Menu yang ditawarkan adalah nasi, seketul ayam beserta minuman milo dan dijual pada harga RM5.00 untuk satu hidangan. Hidangan tersebut boleh dibeli di semua cawangan Chicago Chicken City di seluruh negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu RAHMAH yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan merekadengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.

Sehingga 3 Mac sebanyak 1,085 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu RAHMAH di seluruh negara.



Media Baharu