Inisiatif kerajaan bantu wanita kekal aktif dalam ekonomi

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR, 5 Mac -Sokongan terhadap wanita di luar bandar serta berpendapatan rendah terus diperkukuh melalui subsidi jagaan kanak-kanak, insentif pekerjaan, dan pembiayaan usahawan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi Yuran Pengasuhan RM180 sebulan bagi kanak-kanak di TASKA berdaftar, tertakluk kepada kelayakan pendapatan.
  • Pelepasan cukai sehingga RM3,000 untuk yuran pusat jagaan dan sehingga RM6,000 untuk anak OKU.
  • Program sokongan pekerjaan termasuk Career Comeback Programme, i-Suri dan Skim Lindung Kendiri.
  • Akses pembiayaan dan geran untuk usahawan wanita serta sokongan bukan kewangan seperti cuti bersalin fleksibel.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, inisiatif itu membolehkan wanita kekal aktif dalam ekonomi sekaligus meningkatkan kesejahteraan keluarga.

“Kerajaan menyediakan Subsidi Yuran Pengasuhan (SYP) sebanyak RM180 sebulan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi seorang kanak-kanak yang menghadiri TASKA berdaftar tertakluk kepada kelayakan pendapatan.

“Ibu bapa juga layak menikmati pelepasan cukai pendapatan hingga RM3,000 setahun bagi yuran pusat jagaan kanak-kanak untuk anak berumur 12 tahun ke bawah serta pelepasan cukai hingga RM6,000 setahun bagi anak OKU tanpa had umur,” katanya ketika menjawab soalan Senator Tiew Way Keng di Dewan Negara.

Katanya, wanita kembali bekerja dibantu melalui Career Comeback Programme (CCP), suri rumah melalui i-Suri, dan pekerja gig melalui  Skim Lindung Kendiri.

Sementara itu, usahawan wanita boleh memohon geran dan pembiayaan mikro seperti DanaNITA, Skim Pembiayaan Ikhtiar dan TEKUN Nasional.

Kerajaan turut menekankan sokongan bukan kewangan seperti cuti bersalin fleksibel, cuti paterniti berbayar, ruang mesra keluarga dan Program MEKAR.