KUALA LUMPUR, 12 Disember- Industri penjagaan merupakan dimensi baharu bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata penjagaan sedemikian berupaya menjadi pemangkin ekonomi sekali gus, menggalakkan penglibatan kaum wanita dalam sektor tenaga buruh.
"Pembangunan ekonomi penjagaan ini meliputi satu ekosistem yang luas memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan kerana ia mencakupi soalan ekonomi, penyediaan ilmu kemahiran, profesionalisme dan kompetensi penjaga, banyak lagi serta pelbagai sektor yang merentasi bidang kuasa kepakaran yang merentasi kementerian.
"Justeru, kerajaan kini dalam usaha pemetaan pemegang taruh (stakeholders mapping) agar keperluan dan penglibatan industri penjagaan diteliti lebih jelas", katanya.
Tambahnya, beberapa langkah awal telah dikenal pasti bagi memperkukuh industri penjagaan termasuklah memperkasa peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengadakan libat urus bersama pemegang taruh bagi memperkasa pembangunan industri tersebut.
Datuk Seri Nancy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan senator Datuk Dr Mohd Hatta Md. Ramli berhubung komitmen Kerajaan menyediakan sistem sokongan yang inklusif.