fb fb fb fb fb

Industri kayu, perabot negara cecah RM22.9 bilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Industri kayu dan perabot Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif apabila eksport produk kayu negara mencecah RM22.9 bilion pada tahun lalu, meningkat 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, daripada jumlah tersebut, sektor perabot sahaja menyumbang RM9.9 bilion kepada eksport negara, mencatatkan peningkatan 8.4 peratus berbanding 2023.

“Industri ini sentiasa mempunyai potensi untuk berkembang, sama ada dalam kadar satu digit atau dua digit, jadi kita perlu menjalinkan lebih banyak kerjasama.

"Jadi, secara asasnya, kerjasama antara sektor awam dan swasta sangat penting dalam membawa industri perkayuan dan perabot ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada sidang media sempena Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) Edisi ke-31 di sini hari ini.

Jelasnya, MIFF berperanan sebagai platform utama dalam membuka peluang perniagaan kepada pemain industri.

Beliau menyasarkan pertumbuhan lima peratus dalam industri perabot tahun ini, walaupun berdepan cabaran turun naik mata wang.

Secara keseluruhan, sasaran eksport produk kayu bagi 2024 adalah RM28 bilion, dengan industri perabot dijangka menyumbang separuh daripada jumlah tersebut.

Tambahnya, sasaran tersebut boleh dicapai dengan adanya usaha berterusan daripada semua pihak dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri perabot dan produk kayu global.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM