fb fb fb fb fb

Industri halal: Selangor komited patuhi standard antarabangsa

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari / Foto Fail / Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dilihat sebagai peluang untuk Selangor memperkukuh ekosistem halal di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Selangor mempunyai kemudahan lengkap dengan pensijilan Halmas, iaitu pengiktirafan kepada pengendali kawasan industri halal.

Menurutnya, Selangor komited memastikan pensijilan halal yang dikeluarkan memenuhi standard antarabangsa dan mendapat keyakinan pengguna.

“Selain daripada kemudahan fizikal, kita juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan perisian, dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim.

"Ini akan meningkatkan minat terhadap Ekonomi Halal. Terdapat potensi baharu dalam sektor-sektor niche seperti bahan halal, organik halal dan juga kosmetik halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN