fb fb fb fb fb

Industri halal: Keseimbangan antara keuntungan dan etika perniagaan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Istilah 'halal' berasal daripada bahasa Arab, didefinisikan sebagai sesuatu yang 'dibenarkan' atau 'diizinkan', telah digunakan secara meluas dalam pelbagai aspek terutama sekali merujuk kepada perihal makanan sebagai memenuhi tuntutan agama. Pertambahan penduduk Islam dunia dan kuasa beli yang tinggi merupakan pendorong utama kepada kemajuan pesat dan pertumbuhan industri halal.

Oleh itu, Malaysia telah menjadi peneraju yang diiktiraf sebagai hab halal antarabangsa. Industri halal memainkan peranan penting dalam menyumbang sumber utama ekonomi negara dan dijangka meningkatkan ekonomi dengan anggaran USD8 trilion menjelang 2030.

Peranan syarikat pengeluaran makanan halal

Syarikat pengeluar makanan halal memainkan peranan sangat relevan dan signifikan terhadap pembangunan ekonomi negara. Di samping itu, permintaan yang tinggi terhadap makanan halal dapat menggalakkan syarikat makanan halal untuk bertanggungjawab bagi mendapatkan pensijilan halal dan dapat mengekalkan status halal bagi produk makanan mereka demi menjaga kepentingan kesejahteraan masyarakat umum.

Perlu diketengahkan bahawa majoriti pengeluar makanan halal adalah perusahaan kecil-sederhana (PKS) yang secara jelas menunjukkan keupayaan PKS ini dalam mengekalkan status halal.

Memandangkan tindakan mengekalkan status halal perlu mengikuti piawaian dan garis panduan halal oleh JAKIM sebagai menjalankan kewajipan kepada masyarakat, maka ia memerlukan kemahuan dan komitmen yang tinggi oleh pihak syarikat terhadap amalan perniagaan halal tersebut.

Kegagalan pengiktirafan halal

Namun, tidak semua syarikat berkemampuan untuk mengekalkan status halal mahupun mendapatkan persijilan halal yang diiktiraf JAKIM atas beberapa faktor tertentu, termasuk kurang kesedaran dan kefahaman dalam konsep halal, mempunyai sumber dan dana modal yang terhad, dan menganggap bahawa pematuhan garis panduan halal adalah rumit dan mahal.

Ini tidak dinafikan kerana syarikat akan menanggung kos yang tinggi dalam mengurus pelbagai prosedur dan proses dalam penyediaan dan pengendalian makanan, termasuk mendapatkan sumber bahan yang boleh dipercayai daripada pembekal yang diiktiraf halal dan keupayaan dalam mengurus pekerja mengikut prosedur pengendalian makanan yang memenuhi undang-undang dan garis panduan halal.

Tanggungan kos yang tinggi dianggap tidak membantu dalam mencapai aspirasi syarikat untuk mencapai objektif keuntungan yang tinggi, dan syarikat akan berusaha untuk meminimakan kos sama ada kos bahan mentah, kos pemprosesan dan penyediaan demi menjamin ketahanan perniagaan untuk jangka masa yang lama.

Keuntungan dan etika perniagaan

Memperoleh sijil halal memainkan peranan sangat penting dalam memberi keyakinan dan kepercayaan kepada pelanggan yang mengutamakan isu kebersihan dan kualiti sesuatu produk makanan itu. Tanpa sijil halal, ia akan menimbulkan kesangsian pihak pelanggan untuk membeli produk makanan mahupun berkunjung ke premis makanan.

Ia juga akan mendorong syarikat pengeluar makanan untuk melakukan aktiviti yang tidak beretika dalam penghasilan dan penyediaan makanan sepeti pemalsuan logo halal, tiada sijil halal, tidak memperbaharui sijil halal, dan proses penyediaan makanan dengan bahan mentah meragukan, iaitu bertentangan dengan Akta Deskripsi Halal 2011.

Ini kerana dari sudut pandangan Islam, tiada halangan untuk menjalankan perniagaan demi mencapai keuntungan yang disasarkan. Namun, ia harus dijalankan dengan amalan perniagaan yang beretika tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan dan meletakkan risiko impak terhadap pihak ketiga.

Walaupun memperoleh sijil halal adalah bersifat secara sukarela, namun amalan perniagaan yang mengikut garis panduan halal adalah lebih didorong oleh faktor ekonomi, nilai dan prestasi kewangan yang memberangsangkan.

Namun, harus difahami bahawa menjalankan perniagaan halal juga adalah salah satu aktiviti menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, yang memenuhi gabungan aspek ekonomi, undang-undang dan etika.

Malahan, kajian mendapati bahawa motivasi PKS di Malaysia dalam mengamalkan amalan tanggungjawab sosial didorong oleh prinsip dan nilai entiti individu, kepercayaan agama, jangkaan dan sokongan daripada pihak berkepentingan iaitu komuniti dan masyarakat.

Keuntungan yang diperolehi melalui perniagaan yang mengamalkan amalan beretika seperti amalan perniagaan halal adalah dianggap sebagai mencapai keseimbangan antara memenuhi keperluan ekonomi dan nilai etika dalam menyokong kehendak syariah demi memelihara kemaslahatan masyarakat sejagat oleh sesebuah syarikat pengeluar makanan mahupun premis makanan.

Langkah mencapai keseimbangan

Antara langkah yang dapat membantu syarikat pengeluar makanan halal dalam mencapai keseimbangan dalam keuntungan dan etika perniagaan adalah melalui sokongan oleh pihak pengurusan dan mempunyai tadbir urus yang baik dan kukuh. Ini termasuk kebolehan syarikat dalam merekrut staf berpotensi dalam aspek pengurusan halal seperti Eksekutif halal dan mempunyai Jawatankuasa halal dalaman.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada saiz syarikat untuk mempunyai struktur pengurusan halal tersebut. Langkah ini adalah sangat penting dalam pemantauan terhadap pemprosesan dan penyediaan makanan pada tahap yang lebih baik bagi menjamin integriti makanan sentiasa pada tahap yang optimum.

Sokongan pihak pengurusan dan tadbir urus halal yang baik adalah signifikan untuk memastikan bahawa syarikat sentiasa peka terhadap status halal, kebersihan dan keselamatan dalam penyediaan produk makanan sebagai memenuhi tuntutan agama dalam kalangan umat Islam.

Ia juga dapat membantu syarikat dalam mencapai kelestarian untuk terus kekal relevan dan bertahan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang kian meningkat. Ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam Pelan Induk Industri Halal 2030 untuk meningkatkan bilangan syarikat pengeluar makanan dan premis makanan yang memiliki persijilan halal bagi mencapai kebolehpasaran yang tinggi dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

PENULIS JULIANA ANIS RAMLI, Pensyarah Kanan, UNITEN Business School Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI