fb fb fb fb fb

Indikator baharu dibangunkan, ukur tahap kos sara hidup rakyat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di Bangunan Parlimen / Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju agar Jabatan Perangkaan membangunkan satu indikator baharu.

Keperluan itu, bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat tersebut di Bangunan Parlimen, memaklumkan indikator tersebut adalah bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.

Anwar memperincikan, NACCOL juga membincangkan secara terperinci beberapa perkara berkaitan kos sara hidup rakyat khususnya isu harga dan ketersediaan bekalan beras dalam negara.

"Beberapa mekanisme jangka pendek dikenal pasti dan akan dilaksana dalam tempoh terdekat," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menekankan keperluan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas peluasan skop dan perubahan kadar Cukai Perkhidmatan yang dilaksanakan ke atas beberapa perkhidmatan terpilih.

Dalam hal tersebut katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan pemeriksaan khas di bawah Op Kesan bermula 1 Mac lepas bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN