MERSING, 20 Mei- Seorang imam yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing berhampiran Jeti Kampung Semaloi, di sini ditemukan mati lemas, kira-kira pukul 12.00 tengah hari tadi.
Mayat mangsa, Al Hafiz Yunus, 45 tahun ditemukan pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh daripada bot, sejak pukul 2.25 pagi tadi.
Komander Operasi daripada Balai Bompa Dan Penyelamat (BBP) Endau, Pegawai Bomba Kanan Dua, Mohd Supian Yahya berkata, mayat mangsa ditemukan selepas hampir 10 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
"Operasi disertai seramai 20 orang anggota, termasuk 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) melibatkan dua bot bomba dan enam jentera darat.
"Operasi terpaksa dihentikan sementara pada pukul 3.30 pagi ekoran keadaan gelap, sebelum disambung semula pada pukul 8.00 pagi," kata Mohd Supian.
Mayat mangsa dikenal pasti sebagai seorang imam di sebuah masjid di Pontian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.