YAN, 15 April- Seekor ikan lumba-lumba dianggarkan seberat 220 kilogram (kg) ditemukan mati terdampar di persisiran Pantai Ruat, Yan, dekat sini, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 5.00 petang daripada orang awam.
Enam petugas diketuai oleh Leftenan (PA) Salim Aziz bergegas ke lokasi penemuan bangkai ikan lumba-lumba yang dianggarkan sepanjang 1.8 meter (m) itu.
"Setelah sampai di lokasi kejadian, anggota APM Yan mendapati seekor ikan lumba-lumba telah terdampar di pantai disyaki terkena kipas bot.
"Susulan itu, pihak APM Yan bertindak memaklumkan kepada pihak Jabatan Perikanan Negeri Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan dilakukan dengan mengalihkan bangkai ikan tersebut ke lokasi lain bagi tindakan seterusnya.
Kes penemuan ikan lumba-lumba itu adalah kes pertama diuruskan APM setakat ini.