fb fb fb fb fb

Ijazah Sarjana Muda Sains Geosains Petroleum UTP: Pertama di Asia Tenggara terima akreditasi antarabangsa

IPOH, 16 Julai- Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya mencapai satu lagi kejayaan dalam menyediakan pendidikan kelas dunia, apabila program Ijazah Sarjana Muda Sains Geosains Petroleumnya menerima akreditasi antarabangsa dari Persatuan Geologi London, yang pertama di Asia Tenggara dan Malaysia.

Kejayaan itu amat signifikan untuk UTP kerana program Sarjana Muda Geosains Pertoleumnya terbukti berkualiti dan mencapai standard yang setanding dengan universiti terkemuka lain seperti University of Cambridge, University of Oxford, University of Aberdeen, Cardiff University, National University of Ireland dan King Abdulaziz University, Saudi Arabia.

Akreditasi itu memberikan jaminan tambahan kepada pelajar bahawa progam Ijazah Geosains Petroleum yang ditawarkan di UTP, adalah berkualiti tinggi dan telah diperakukan oleh sebuah badan yang terdiri daripada ahli akademik dan industri antarabangsa.

“Satu-satunya seumpamanya di rantau ini, program Sarjana Muda Geosains Petroleum disenaraikan 60 terbaik untuk subjek Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan oleh Quacquarelli Symonds World University Rankings 2022, dan mengekalkan kedudukan universiti terbaik negara untuk subjek tersebut tiga tahun berturut-turut.

“Seorang graduan yang mengambil program sarjana muda berakreditasi akan memperoleh pengalaman dan pandangan relevan bagi mencapai status ahli geologi bertauliah ataupun ahli sains,” menurut kenyataan dikeluarkan UTP semalam.

Menurut kenyataan itu, program Sarjana Muda Geosains Pertoleum penuh dengan sesi pembelajaran, pengembaraan dan aktiviti luar yang menarik, interaksi akademik dan industri, pendedahan kepada teknologi terkini dan aplikasi digital terkini.

“Pengajaran dan pembelajaran geosains petroleum adalah berdasarkan kepada kurikulum yang terkini dan komprehensif yang diiktiraf dan pantau oleh agensi akreditasi, badan profesional, pemeriksa antarabangsa dan pakar industri.

Universiti Teknologi Petronas (UTP)

“Kursus akan dilaksanakan oleh kakitangan akademik tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai kepakaran geosains termasuk geologi, geofizik, geokimia, penerokaan dan juga pakar produksi,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut program Geosains Petroleum dan permohonan untuk pengambilan September boleh dilayari menerusi www.utp.edu.my. -BERNAMA

Media Baharu