fb fb fb fb fb

ICCEIW medan perkongsian perkasa Islam dari 22 negara

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Pembukaan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari Dalam Dunia Islam (ICCEIW) di Kuantan hari ini/Foto Facebook MB Pahang

KUANTAN, 5 Mei - Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari Dalam Dunia Islam (ICCEIW) menjadi medan perkongsian usaha memperkasa Islam.

Persidangan yang julung kali berlangsung di Pahang disertai 49 anggota delegasi daripada 22 negara bermula Ahad hingga Selasa.

Antaranya Libya, ⁠Tunisia, Brazil, Arab Saudi dan Mesir.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ICCEIW menjadi platform percambahan buah fikiran dalam pembangunan Islam dari segenap aspek, termasuk pendidikan dan kehidupan seharian.

"Pada masa sama penganjuran persidangan antarabangsa seperti ini diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan dunia Islam ke peringkat antarabangsa.

"Kita ada bagitahu yang kita di Pahang ni, pembentukan Islam untuk anak-anak kita bermula daripada tadika lagi, sebelum masuk darjah satu kita dah ada tadika tahfiz.

"Ini bukan cakap kosong, (kalau) dulu satu sahaja, sekarang ada 18 dan kita akan kembangkan lagi.

"Kita ada Maahad Tahfiz, ada universiti Islam dan kita nak memperkemaskan, perkukuh dan kita nak tambah lagi.

"Dan hasil daripada persidangan ini mungkin boleh membantu hala tuju kita untuk pergi lebih ke hadapan lagi," katanya.

Pada persidangan itu katanya, setiap negara membentangkan usaha yang dilaksanakan di negara masing-masing.

Justeru, beliau berharap, hasil persidangan ini dapat membantu kesemua negara peserta, terutama Pahang untuk menambah baik dan memperbanyak inisiatif memperkasa agama Islam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari Dalam Dunia Islam (ICCEIW) hari ini.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini adalah susulan lawatan kerja yang dilakukannya ke negara Mesir, Jordan dan Maghribi, sebelum ini.

Tambah Wan Rosdy, usaha sama akan diteruskan pada masa akan datang, setelah melihat kepada impak positif penganjuran kali pertama itu.

Majlis penutup ICCEIW dijangka akan disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Selasa ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN