fb fb fb fb fb

Ibu, bayi maut tersepit dalam kemalangan di Johor

Foto Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Kota Tinggi

KOTA TINGGI, 13 April- Seorang ibu dan bayinya berusia tiga bulan maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori, semalam.

Kejadian di Jalan Tanjung Balau-Bandar Penawar, Kota Tinggi itu menyebabkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, mangsa yang maut dikenali Najwa Nurshahira Kamaruzaman, 28 tahun dan anaknya, Feikah Nurnadeera, 3 bulan.

Kedua-dua mangsa yang ditemukan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tiga lagi mangsa mengalami kecederaan iaitu suami Najwa Nurshahira berusia 30 tahun, dua anak mereka, masing-masing berusia 5 dan 8 tahun.

"Kesemua mangsa yang cedera sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM