ISKANDAR PUTERI, 10 Februari - Iskandar Investment Berhad (IBB) memperuntukkan RM230 juta bagi membina seribu unit rumah menerusi Projek Pembangunan Perumahan Pelbagai Pendapatan di Johor.
Presidennya, Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata melalui inisiatif tersebut, golongan B40 dan M40, boleh berada dalam satu komuniti demi memastikan pembangunan mampan dan inklusif.
"Kita nak mengintegrasikan komuniti dan inilah kami harapkan satu projek yang boleh menjadi model atau pembangunan contoh masa depan dan projek ni juga masukkan elemen-elemen kemampanan supaya komuniti pun digalakkan untuk kitar semula, kurangkan penggunaan tenaga untuk pemuliharaan air," kata Khairil kepada wartawan.
Majlis pemeteraian perjanjian hak pembangunan itu berlangsung di sini.
Projek perumahan tersebut yang melibatkan kawasan seluas 12.9 ekar dijangka siap menjelang 2026.