Hujan singkat tidak redakan suhu

Hujan yang berlaku semasa peralihan monsun hanya bersifat sementara

KUALA LUMPUR, 6 April – Cuaca panas yang sedang melanda Malaysia dijangka berterusan hingga Jun ini, walaupun beberapa lokasi telah menerima hujan sejak kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan singkat semasa peralihan monsun bersifat sementara dan melibatkan lokasi tertentu sahaja.
  • Hujan sekejap tidak menurunkan suhu, terutama di utara dan kawasan pedalaman.
  • Hujan singkat boleh membawa risiko ribut petir, banjir kilat serta angin kencang.
  • Operasi pembenihan awan dilaksanakan hingga 9 April di utara Semenanjung untuk meningkatkan hujan di kawasan tadahan air.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang berkata hujan yang berlaku ketika peralihan monsun hanya bersifat sementara.

“Cuaca panas masih berterusan walaupun kita sudah menerima hujan kerana hujan semasa peralihan monsun ini merupakan hujan yang sekejap membabitkan lokasi tertentu.

“Jadi keadaan ini tidak akan menurunkan kadar suhu terutamanya di utara dan pedalaman Semenanjung, jadi cuaca panas ini diramalkan sehingga Jun nanti,” katanya kepada RTM.

Jelas Ambun, hujan singkat itu turut berpotensi membawa risiko cuaca ekstrem lain seperti ribut petir dan banjir kilat, khususnya di kawasan bandar.

Malah, ia juga boleh menyebabkan petir serta angin kencang susulan pembentukan awan yang besar.

Beliau turut memaklumkan, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di kawasan tertentu bermula hari ini hingga 9 April, terutamanya di utara Semenanjung bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan air, sekali gus mengatasi masalah paras air rendah di empangan akibat cuaca panas.